Saiz Teks : Pilihan Warna :  default green red red contrast gplay light rose
  • banner1
  • banner2

Sejarah

Latar Belakang Sebelum Penubuhan Dewan Undangan Negeri Mulai Tahun 1957 (Majlis Mesyuarat Negeri).

Selepas kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu iaitu sebelum penubuhan Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang, badan perundangan di Pulau Pinang dikenali sebagai Majlis Mesyuarat Negeri (MMN). Majlis tersebut  ditubuh sebaik sahaja negara mencapai kemerdekaan. Persidangan Majlis Mesyuarat Negeri ini dirasmikan oleh YTM. Raja Sir Uda bin Raja Muhammad, Gabenor Pulau Pinang pada 15.9.1957. Ahli MMN tersebut adalah dilantik oleh Gabenor Pulau Pinang. Istiadat perasmian tersebut juga telah dihadiri oleh Isteri Gabenor Pulau Pinang iaitu Y.M. Raja Nur Sadiah, Speaker Majlis Mesyuarat Negeri, Tuan Haji Muhammad Noor bin Hamzah dan Ketua Menteri Pulau Pinang, Tuan Wong Pow Nee. Turut hadir di istiadat itu ialah Timbalan Pesuruhjaya Tinggi British,Encik D.J. King serta pemerhati-pemerhati dari luar negara termasuk Konsul Indonesia dan Konsul Siam di Pulau Pinang.

Sejarah Bangunan Dewan Undangan Negeri

Bangunan Dewan Undangan Negeri, Jalan Lebuh Light, George Town dibina sekitar tahun 1820’an.  Bangunan tersebut asalnya merupakan Police Recorder Court dan kemudiannya dijadikan Mahkamah Majisteret dan seterusnya diambil alih oleh Majlis Perbandaran Pulau Pinang.  Kerajaan Negeri Pulau Pinang kemudiannya menjadikan bangunan tersebut sebagai dewan persidangan bagi Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang sehingga ke hari ini. 

Semasa proses membaikpulih bangunan tersebut pada tahun 1995 – 1996, persidangan Dewan telah diadakan di Dewan Senat, Universiti Sains Malaysia, Minden. Pada tahun 2005, sekali lagi proses membaikpulih diadakan di Bangunan Dewan Undangan Negeri dan persidangan pada tahun tersebut diadakan di Dewan Sri Pinang.

Penubuhan DUN

Pilihan raya umum yang pertama selepas kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu telah diadakan pada 6 Jun 1959. Selain dari memilih Ahli Dewan Rakyat, Pilihan raya umum juga adalah bertujuan untuk memilih ahli yang akan menganggotai Dewan Undangan Negeri. Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang ditubuhkan secara rasminya pada 11 Julai 1959 apabila DUN bersidang buat pertama kalinya pada tarikh tersebut. Persidangan pertama ini telah dirasmikan oleh Y.T.M. Sri Uda bin Raja Muhammad, Gabenor Pulau Pinang.

Keahlian DUN Pulau Pinang pada persidangan tersebut adalah seramai 24 orang. Ketua kerajaan dalam DUN pada masa itu adalah Ketua Menteri iaitu Y.A.B.Tuan Wong Pow Nee dan Speaker iaitu Y.B. Tuan Haji Sulaiman bin Haji Ahmad. Parti-parti yang menganggotai DUN tersebut adalah terdiri daripada Parti Perikatan iaitu seramai 17 Ahli dan Parti Socialist Front seramai 7 ahli.

Peranan dan Keahlian Dewan Undangan Negeri

Secara umumnya peranan Dewan Undangan Negeri adalah untuk menggubal perundangan dan dasar negeri. Undang-undang yang diluluskan oleh Dewan Undangan Negeri (DUN) dipanggil Enakmen. Berdasarkan peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan, DUN mempunyai kuasa untuk menggubal undang-undang yang disenaraikan dalam Senarai Negeri dan Senarai Bersama. Peranan DUN yang seterusnya adalah memantau institusi pemerintah iaitu jabatan dan agensi Kerajaan Negeri. Ahli-ahli DUN bertanggungjawab untuk mengkritik atau menegur tindakan institusi kerajaan bagi memastikan jabatan atau agensi negeri tersebut melaksanakan fungsinya berdasarkan dasar yang telah ditetapkan. Seterusnya, DUN juga berperanan sebagai pengantara dalam penyampaian suara rakyat kepada kerajaan.

 

800px-Dewan Undangan Negeri Penang Dec 2006 003